Saturday 21 February 2015

PUNCA STRES

PENGENALAN


Pendidikan di Malaysia telah berkembang dengan pesatnya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Bidang pendidikan terus mengalami perubahan dari semasa ke semasa kerana bidang ini adalah bersifat dinamik sama ada dari segi asas penegasan kepada kandungan mahupun kaedah dan sumbernya. Menurut Abu Bakar dan Ikhsan (2003), pendidikan yang berkualiti dan cemerlang menjadi wahana dalam usaha membangunkan generasi abad ke-21. Hal ini adalah kerana pendidikan adalah usaha yang bersifat futuristik. Profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana individu yang dihasilkan kelak bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi juga perlu diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. 

FAKTOR PENYEBAB STRES GURU

Gold dan Roth (1993) menyatakan bahawa salah satu punca stres bagi guru adalah perubahan (Zakiah binti Arshad, 2003). Sebagai pengurus pembelajaran, guru perlu merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar setiap hari (Esah Sulaiman, 2003). Antara faktor-faktor yang menyebabkan stres guru ialah depersonalisasi, kejayaan diri, ketandusan emosi, lebihan kerja, hubungan interpersonal dan persekitaran kerja. Depersonalisasi ini adalah merujuk kepada keadaan emosi seseorang guru seperti cara melayan pelajar dan bagaimana seseorang guru itu mengatasi masalah pelajarnya. Kejayaan diri merujuk kepada cara seseorang guru untuk mencapai kejayaan untuk melihat pelajarnya mencapai keputusan yang baik dalam pelajaran. Ketandusan emosi pula merujuk kepada perasaan guru yang kuat dalam menjalankan tugas tanpa merasa marah, sedih dan bersifat sentimental. Persekitaran kerja juga mempengaruhi guru dalam menjalankan tugas harian mereka antaranya keadaan persekitaran kelas, kemudahan alat bantu mengajar dan alat kelengkapan yang lain untuk memudahkan perhubungan guru dan pelajar. 

Selain itu, hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir. Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemaskini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi memajukan pelajarnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi pelajarnya kerana stres menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. 

No comments:

Post a Comment