Kepelbagaian dan
kekompleksian kehidupan menyumbang kepada stress. Apa yang dikatakan dengan
stres sehingga sering menghantui fikiran setiap individu yang dipenuhi dengan
bebanan kerja ? Stres merupakan satu penyakit yang dikaitkan dengan kesihatan mental.
Menurut Mohd Salleh (1994) dalam buku Guru dan Cabaran Semasa mengatakan bahawa
stres ialah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang akibat sesuatu situasi
yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup. Mohd Azhar (2004) pula mengatakan bahawa stres
sebagai sebarang jenis desakan yang memberi kesan kehidupan seharian seseorang.
Stres juga boleh berlaku apabila seseorang itu berasa keperluan melebihi
daripada keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.
Di Malaysia, fenomena stres
dalam kalangan guru hangat dijadikan topik perbualan dan juga dijadikan bahan
kajian ilmiah lebih-lebih lagi dalam profesion keguruan. Borg dan Mark (1990)
dalam Mazlan bin Aris mendapati pekerjaan guru dikategorikan amat stres dan
mempunyai statistik yang paling tinggi berbanding dengan pekerjaan lain. Menurut
Winefield et al (2003 dalam Tengku Mastura dan Noraime, 2006), guru terpaksa berdepan
dengan perubahan demi perubahan sehingga wujudnya bebanan yang keterlaluan
seterusnya mengakibatkan guru sering dipengaruhi oleh stres kerja yang memberi
kesan terhadap pengajaran, kurang bertenaga, kurang idea dan kurang bersemangat
semasa mengajar.
Menurut Kyriacou (2000), stres
guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti
tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat tugas sebagai
seorang guru. Manakala, menurut Sapora Sipon (2007), stres terhadap guru memang
berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa dan kebimbangan.
Masalah stress dikalangan
guru ini jika tidak dibendung dari awal akan meninggalkan kesan negatif
terhadap guru, sekolah dan profesion keguruan. Menurut Sapora Sipon (2007)
dalam Raja Maria Diana ,guru yang gagal mengawal diri akibat stress akan memberi
kesan kepada perhubungan antara guru
dengan murid dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran akan terjejas. Perhubungan
antara guru dan murid boleh terjejas apabila guru menunjukkan sikap agresif
terhadap murid kerana ingin meluahkan kemarahan. Oleh kerana terlalu mengikut
perasaan marah, guru akan memarahi atau mendenda murid tanpa memikirkan kesan sampingan dan bertindak
diluar kawalan. Natijahnya, murid akan mudah berasa takut apabila berhadapan
dengan guru tersebut secara tidak langsung akan menjauhkan jarak antara guru
dan murid.
Disamping itu, murid juga
akan berasa malu kerana merasakan tindakan yang dilakukan oleh guru kerana
memarahinya di hadapan rakan-rakan menyebabkan air mukanya jatuh. Secara tidak
langsung ia akan menyebabkan murid menyimpan perasaan dendam kepada guru
tersebut.
Mutu
pengajaran dan pembelajaran juga terjejas apabila seorang guru berada dalam
keadaan stress kerana ia akan mendorong guru kepada sifat cepat marah seterusnya
akan menganggu tumpuan murid terhadap pengajaran guru. Murid akan sentiasa berada
dalam ketakutan ekoran daripada sikap guru itu sendiri. Seperti mana yang kita tahu, komunikasi antara
guru dan murid di dalam bilik darjah merupakan aspek penting dalam
mempertingkatkan mutu pencapaian objektif pembelajaran. Perwatakan yang dibawa
guru memainkan peranan dalam meningkatkan mutu pengajaran.
Selain itu, guru yang
mengalami stres juga dikatakan dapat menjejaskan mutu pengajaran dan
pembelajaran apabila guru leka terhadap tugasnya sama ada dalam pengurusan masa
mahupun dalam menyediakan persediaan mengajar. Ini kerana guru mempunyai
terlalu banyak bebanan kerja seperti tugas perkeranian sehingga menganggu
fikirannya terhadap pengajaran dan pembelajaran. Ini akan mengakibatkan seseorang guru memulakan
pengajarannya secara sambil lewa dan tidak mengikut skop yang telah ditentukan.
Selain itu, fenomena stres
yang dialami oleh guru juga menyebabkan guru menunjukkan komitmen yang kurang memuaskan semasa menjalankan tugas
dan tanggungjawab di sekolah. Ali Murat
Sunbul (2003) dalam Raja Maria Diana yang mengatakan bahawa terlalu banyak
stres boleh mendatangkan kesan negatif dan akan menganggu prestasi serta
kepuasan kerja. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan
tidak mampu untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian. Guru juga akan
menunjukkan sikap kemurungan sepanjang masa. Sebagai contoh, guru yang stres
akibat terpaksa mengajar sesuatu mata pelajaran yang diarahkan bukan di
bidangnya akan menyebabkan guru tersebut menjalankan tugas seperti melepaskan
batuk di tangga. Disamping itu, segala kerja yang dilakukan tidak menunjukkan
profesionalisme sebagai seorang guru. Hal ini menyebabkan profesion guru
dipandang rendah dan segala kerja yang dilakukan oleh guru tersebut tidak
mencerminkan kualiti yang baik dan tidak produktif. Ia juga mempengaruhi
prestasi kerja.
Guru yang mengalami stres
akan bertindak untuk ponteng untuk mendapatkan ketenangan akibat tidak tertahan
dengan stres yang mereka hadapi. Oleh itu, ia memberi kesan terhadap
pencapaian prestasi murid yang akan menduduki peperiksaan seperti UPSR, PMR dan
SPM. Apabila guru ponteng, ia akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran
dan menyebabkan banyak perkara tidak dapat diselesaikan dengan segera mengikut
kepada perancangan yang telah disediakan. Sebagai contoh, sukatan pelajaran
tidak dapat dihabiskan mengikut perancangan. Hal ini memberi impak kepada murid
yang ingin menduduki peperiksaan kerana proses pengajaran dan pembelajaran
tidak lancar dan banyak maklumat tidak dapat disampaikan dan ketinggalan. Ini
akan menyebabkan penurunan prestasi
pencapaian sekolah seterusnya tidak dapat melahirkan murid yang cemerlang.
Guru ponteng juga mempengaruhi perjalanan aktiviti ko-korikulum yang akan
dijalankan oleh sekolah kerana terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan tenaga
kerja.
Ketika stres, badan kita
akan mengeluarkan satu hormon rangsangan iaitu ‘adrenaline’ ke dalam saluran
darah yang akan menyebabkan beberapa perubahan berlaku di dalam tubuh kita.
Antara perubahan yang berlaku ialah denyutan jantung bertambah laju dan tekanan
darah akan meningkat. Perubahan yang berlaku mengikut kepada keperluan tubuh
kita ketika itu. Namun begitu, jika stress berpanjangan dan tidak di urus
dengan bijak ia akan menyebabkan kita mengalami
penyakit-penyakit yang tidak diingini. Stress dalam kalangan guru telah
menganggu kesejahteraan kesihatan mental guru. Menurut Pakar Perundingan Kanan
Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida mengatakan
bahawa kira-kira sepuluh peratus daripada anggaran seramai 22,000 pesakit yang
mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital adalah terdiri
daripada guru yang mengalami tekanan mental. Keadaan kesihatan guru yang kurang
memuaskan menyebabkan guru berada dalam keadaan lesu dan tidak bersemangat untuk melaksanakan
tugas terutamanya mengajar. Sebagai contoh, guru berkemungkinan akan meminta
murid untuk menyiapkan kerja sendiri. Ada ketika guru juga tidak masuk ke
kelas. Kesan daripada itu, keadaan kelas kan menjadi bising dan tidak terkawal.
Pelbagai kemungkinan akan berlaku apabila ketiadaan guru di dalam kelas sama
ada murid mudah tercedera ataupun berlaku pergaduhan.
No comments:
Post a Comment