Wednesday 25 February 2015

KESAN STRES

Dunia pendidikan di zaman pemodenan ini kian mencabar dan sangat penting  dalam pembangunan sumber manusia ke arah pencapaian matlamat pembangunan negara. Dalam membentuk modal insan yang seimbang, kepimpinan seorang guru sangat diperlukan sesuai dengan keperluan semasa. Justeru itu, tanggungjawab guru kini semakin mencabar bukan sahaja dari dunia pendidikan malah turut dipengaruhi oleh  tanggungjawab yang tinggi oleh masyarakat kepada pihak sekolah dan guru-guru. Suasana pengajaran dan kualiti pengajaran guru kian dipersoalkan. Perubahan dalam sistem pendidikan yang menuntut perubahan secara langsung atau tidak akan membawa kepada tekanan terhadap guru. Oleh itu, kestabilan emosi diperlukan untuk mengelakkan tekanan yang dipikul bagi menggalas tanggungjawab yang diberi. Namun begitu, tekanan emosi sememangnya berlaku dikalangan guru-guru  untuk berhadapan dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak pengurusan selain menunaikan tugas yang diberi di dalam bilik darjah.
           
Kepelbagaian dan kekompleksian kehidupan menyumbang kepada stress. Apa yang dikatakan dengan stres sehingga sering menghantui fikiran setiap individu yang dipenuhi dengan bebanan kerja ? Stres merupakan satu penyakit yang dikaitkan dengan kesihatan mental. Menurut Mohd Salleh (1994) dalam buku Guru dan Cabaran Semasa mengatakan bahawa stres ialah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang akibat sesuatu situasi yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup.  Mohd Azhar (2004) pula mengatakan bahawa stres sebagai sebarang jenis desakan yang memberi kesan kehidupan seharian seseorang. Stres juga boleh berlaku apabila seseorang itu berasa keperluan melebihi daripada keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.
           
Di Malaysia, fenomena stres dalam kalangan guru hangat dijadikan topik perbualan dan juga dijadikan bahan kajian ilmiah lebih-lebih lagi dalam profesion keguruan. Borg dan Mark (1990) dalam Mazlan bin Aris mendapati pekerjaan guru dikategorikan amat stres dan mempunyai statistik yang paling tinggi berbanding dengan pekerjaan lain. Menurut Winefield et al (2003 dalam Tengku Mastura dan Noraime, 2006), guru terpaksa berdepan dengan perubahan demi perubahan sehingga wujudnya bebanan yang keterlaluan seterusnya mengakibatkan guru sering dipengaruhi oleh stres kerja yang memberi kesan terhadap pengajaran, kurang bertenaga, kurang idea dan kurang bersemangat semasa mengajar.
                       
Menurut Kyriacou (2000), stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat tugas sebagai seorang guru. Manakala, menurut Sapora Sipon (2007), stres terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan  murung, mengalami tekanan jiwa dan kebimbangan.

Masalah stress dikalangan guru ini jika tidak dibendung dari awal akan meninggalkan kesan negatif terhadap guru, sekolah dan profesion keguruan. Menurut Sapora Sipon (2007) dalam Raja Maria Diana ,guru yang gagal mengawal diri akibat stress akan memberi kesan kepada perhubungan antara guru dengan murid dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran akan terjejas. Perhubungan antara guru dan murid boleh terjejas apabila guru menunjukkan sikap agresif terhadap murid kerana ingin meluahkan kemarahan. Oleh kerana terlalu mengikut perasaan marah, guru akan memarahi atau mendenda murid  tanpa memikirkan kesan sampingan dan bertindak diluar kawalan. Natijahnya, murid akan mudah berasa takut apabila berhadapan dengan guru tersebut secara tidak langsung akan menjauhkan jarak antara guru dan murid.

Disamping itu, murid juga akan berasa malu kerana merasakan tindakan yang dilakukan oleh guru kerana memarahinya di hadapan rakan-rakan menyebabkan air mukanya jatuh. Secara tidak langsung ia akan menyebabkan murid menyimpan perasaan dendam kepada guru tersebut.

Mutu pengajaran dan pembelajaran juga terjejas apabila seorang guru berada dalam keadaan stress kerana ia akan mendorong guru kepada sifat cepat marah seterusnya akan menganggu tumpuan murid terhadap pengajaran guru. Murid akan sentiasa berada dalam ketakutan ekoran daripada sikap guru itu sendiri.  Seperti mana yang kita tahu, komunikasi antara guru dan murid di dalam bilik darjah merupakan aspek penting dalam mempertingkatkan mutu pencapaian objektif pembelajaran. Perwatakan yang dibawa guru memainkan peranan dalam meningkatkan mutu pengajaran.

Selain itu, guru yang mengalami stres juga dikatakan dapat menjejaskan mutu pengajaran dan pembelajaran apabila guru leka terhadap tugasnya sama ada dalam pengurusan masa mahupun dalam menyediakan persediaan mengajar. Ini kerana guru mempunyai terlalu banyak bebanan kerja seperti tugas perkeranian sehingga menganggu fikirannya terhadap pengajaran dan pembelajaran.  Ini akan mengakibatkan seseorang guru memulakan pengajarannya secara sambil lewa dan tidak mengikut skop yang telah ditentukan.

Selain itu, fenomena stres yang dialami oleh guru juga menyebabkan guru menunjukkan komitmen yang kurang memuaskan semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab di sekolah.  Ali Murat Sunbul (2003) dalam Raja Maria Diana yang mengatakan bahawa terlalu banyak stres boleh mendatangkan kesan negatif dan akan menganggu prestasi serta kepuasan kerja. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan tidak mampu untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian. Guru juga akan menunjukkan sikap kemurungan sepanjang masa. Sebagai contoh, guru yang stres akibat terpaksa mengajar sesuatu mata pelajaran yang diarahkan bukan di bidangnya akan menyebabkan guru tersebut menjalankan tugas seperti melepaskan batuk di tangga. Disamping itu, segala kerja yang dilakukan tidak menunjukkan profesionalisme sebagai seorang guru. Hal ini menyebabkan profesion guru dipandang rendah dan segala kerja yang dilakukan oleh guru tersebut tidak mencerminkan kualiti yang baik dan tidak produktif. Ia juga mempengaruhi prestasi kerja.

Guru yang mengalami stres akan bertindak untuk ponteng untuk mendapatkan ketenangan akibat tidak tertahan dengan stres yang mereka hadapi. Oleh itu, ia memberi kesan terhadap pencapaian prestasi murid yang akan menduduki peperiksaan seperti UPSR, PMR dan SPM. Apabila guru ponteng, ia akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran dan menyebabkan banyak perkara tidak dapat diselesaikan dengan segera mengikut kepada perancangan yang telah disediakan. Sebagai contoh, sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan mengikut perancangan. Hal ini memberi impak kepada murid yang ingin menduduki peperiksaan kerana proses pengajaran dan pembelajaran tidak lancar dan banyak maklumat tidak dapat disampaikan dan ketinggalan. Ini akan menyebabkan penurunan prestasi pencapaian sekolah seterusnya tidak dapat melahirkan murid yang cemerlang. Guru ponteng juga mempengaruhi perjalanan aktiviti ko-korikulum yang akan dijalankan oleh sekolah kerana terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan tenaga kerja.

Ketika stres, badan kita akan mengeluarkan satu hormon rangsangan iaitu ‘adrenaline’ ke dalam saluran darah yang akan menyebabkan beberapa perubahan berlaku di dalam tubuh kita. Antara perubahan yang berlaku ialah denyutan jantung bertambah laju dan tekanan darah akan meningkat. Perubahan yang berlaku mengikut kepada keperluan tubuh kita ketika itu. Namun begitu, jika stress berpanjangan dan tidak di urus dengan bijak ia akan menyebabkan kita mengalami penyakit-penyakit yang tidak diingini. Stress dalam kalangan guru telah menganggu kesejahteraan kesihatan mental guru. Menurut Pakar Perundingan Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida mengatakan bahawa kira-kira sepuluh peratus daripada anggaran seramai 22,000 pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital adalah terdiri daripada guru yang mengalami tekanan mental. Keadaan kesihatan guru yang kurang memuaskan menyebabkan guru berada dalam keadaan lesu  dan tidak bersemangat untuk melaksanakan tugas terutamanya mengajar. Sebagai contoh, guru berkemungkinan akan meminta murid untuk menyiapkan kerja sendiri. Ada ketika guru juga tidak masuk ke kelas. Kesan daripada itu, keadaan kelas kan menjadi bising dan tidak terkawal. Pelbagai kemungkinan akan berlaku apabila ketiadaan guru di dalam kelas sama ada murid mudah tercedera ataupun berlaku pergaduhan. 

Tuesday 24 February 2015

CARA MENGATASI STRES

Stres adalah merupakan satu masalah yang normal kepada semua manusia. Namun, ia haruslah tidak dibiarkan dan perlu diatasi sebelum menjadi semakin kritikal. Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi stres. Antaranya ialah seperti berikut ;

1) Mengamalkan budaya hidup sihat
2) Beriadah
3) Mendapatkan nasihat pakar
4) Mengurus masa dengan baik
5) Menguji kekuatan dan kelemahan diri
6) Mengamalkan ajaran agama
7) Banyakkan berdoa

Selain itu, terdapat kaedah lain yang boleh diamalkan ;

HARGAI KEBOLEHAN DIRI
Kita perlu mempunyai sikap yakin pada diri sendiri untuk melakukan setiap kerja yang dipertanggungjawabkan.

MENGAMALKAN DIET DENGAN DISIPLIN YANG KUAT
Kita perlu makan hanya dengan kadar yang sepatutnya mengikut keperluan badan kita kerana pengambilan makanan berlebihan boleh menyebabkan tekanan emosi.

SENYUM
Banyakkan senyum kerana dengan senyum kita dapat menghilangkan rasa rungsing diri sendiri dan orang lain selain daripada senyum itu sendiri adalah sunnah. 

TIDUR
Tidur yang cukup sangat penting bagi seorang manusia. Kita cenderung untuk cepat merasa marah dan stres apabila kurang tidur kerana kita penat. Oleh itu, pastikan kita mendapat tidur yang cukup dan berkualiti. 

BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH
Setiap Muslim perlu percaya segala perkara yang berlaku adalah dalam pengetahuan Allah S.W.T. Setiap perkara yang berlaku adalah bertujuan untuk menguji keimanan dan kekuatan diri setiap manusia. Percayalah bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. 








Kredit ;
http://www.slideshare.net/nurrularifah/panduan-pengurusan-konflik-dan-stress
http://www.slideshare.net/Syahir89/tekanan-emosi-dalam-kalangan-guru

Saturday 21 February 2015

PUNCA STRES

PENGENALAN


Pendidikan di Malaysia telah berkembang dengan pesatnya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Bidang pendidikan terus mengalami perubahan dari semasa ke semasa kerana bidang ini adalah bersifat dinamik sama ada dari segi asas penegasan kepada kandungan mahupun kaedah dan sumbernya. Menurut Abu Bakar dan Ikhsan (2003), pendidikan yang berkualiti dan cemerlang menjadi wahana dalam usaha membangunkan generasi abad ke-21. Hal ini adalah kerana pendidikan adalah usaha yang bersifat futuristik. Profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana individu yang dihasilkan kelak bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi juga perlu diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. 

FAKTOR PENYEBAB STRES GURU

Gold dan Roth (1993) menyatakan bahawa salah satu punca stres bagi guru adalah perubahan (Zakiah binti Arshad, 2003). Sebagai pengurus pembelajaran, guru perlu merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar setiap hari (Esah Sulaiman, 2003). Antara faktor-faktor yang menyebabkan stres guru ialah depersonalisasi, kejayaan diri, ketandusan emosi, lebihan kerja, hubungan interpersonal dan persekitaran kerja. Depersonalisasi ini adalah merujuk kepada keadaan emosi seseorang guru seperti cara melayan pelajar dan bagaimana seseorang guru itu mengatasi masalah pelajarnya. Kejayaan diri merujuk kepada cara seseorang guru untuk mencapai kejayaan untuk melihat pelajarnya mencapai keputusan yang baik dalam pelajaran. Ketandusan emosi pula merujuk kepada perasaan guru yang kuat dalam menjalankan tugas tanpa merasa marah, sedih dan bersifat sentimental. Persekitaran kerja juga mempengaruhi guru dalam menjalankan tugas harian mereka antaranya keadaan persekitaran kelas, kemudahan alat bantu mengajar dan alat kelengkapan yang lain untuk memudahkan perhubungan guru dan pelajar. 

Selain itu, hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir. Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang, mengutip yuran, mengemaskini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi memajukan pelajarnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi pelajarnya kerana stres menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. 

DEFINISI STRES

Stress merupakan salah satu sebab utama mengapa sejumlah  besar guru bercadang untuk meninggalkan profesion perguruan. Banyak kajian yang telah melaporkan tahap stres dan burnout dalam kalangan guru sekolah. Stres memberi kesan kepada kepuasan kerja, keberkesanan terhadap produktiviti guru, peningkatan ketidakhadiran dan pusing ganti yang tinggi serta persaraan awal guru. 

Selain daripada itu, stres juga memberi kesan kepada masalah kesihatan mental dan fizikal dan mempengaruhi keberkesanan tahap tenaga guru serta penglibatan tugas yang semakin berkurangan. Stres yang berpanjangan boleh menyebabkan burnout (Frese & Zapf, 1988). Kesan burnout termasuklah kepuasan kerja yang berkurangan, hubungan guru-murid yang renggang, motivasi guru yang berkurangan, dan pengurangan keberkesan dalam memenuhi matlamat pendidikan negara. 

ARTIKEL 1 - SUKARNYA MENJADI GURU


KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar. 

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri), bersalaman bersama Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan semasa Perjumpaan bersama NUTP di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. 
- Foto Bernama

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

“NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.

“Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana tidak mahu tugas hakiki guru, iaitu mendidik pelajar tidak terganggu disebabkan bebanan macam-macam tugas yang terpaksa dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan NUTP di bangunan Parlimen, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
“Piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi boleh kita contohi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyedari tugas sebenar guru ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, bukannya melakukan tugas tertentu yang sepatutnya dilakukan kerani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah mendapat maklum balas positif daripada NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

“NUTP turut menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan jaringan pendidikan kepada rakyat. Kementerian akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada guru dan rakyat,” katanya.